Wealth and children are an adornment of this world’s life: but good deeds, the fruit whereof endures forever, are of far greater merit in thy Sustainer’s sight, and a far better source of hope.
AL – KAHF (46)
HATIPATI
Meluap luap rasa gembira dan syukur melihat barisan pemimpin baru dan lama UMNO bersalam salaman, bermaaf maafan dalam satu jalinan silaturahim di atas pentas Dewan Merdeka.
Pada kemuncak majlis penutup perhimpunan agung UMNO hari Sabtu lepas, keluarga UMNO tua dan muda bertaut rapat menjanjikan perubahan yang akan mengembalikan kegemilangan parti Melayu terulung.
Bapa yang merajuk memaafkan anak anak yang tidak mengindahkan pengorbannya. Abang yang tersinggung memaafkan adiknya yang berani menegur kesalahannya. Pelukan dan ciuman menjadi tanda semuanya akan pulih seperti dahulu!
Seolah olah semuanya menerima bahawa semua ini ialah adat politik, malah adat dunia, adat hidup dan mati.
Tidak ada satu pun kekal atau muktamad dalam dunia yang penuh cabaran dan pergolakan! Seperti masa yang berjalan dan musim yang bertukar, hidup kita ini sentiasa dilanda perubahan!
Tidak seorang pun yang boleh mengaku dirinya lebih daripada orang lain; yang ini haknya dan yang itu miliknya! Semua insan dikurniakan kelebihan dan kekurangan!
Hanya hati yang jujur dan jiwa yang murni menjadi hakmilik seseorang insan! Hanya ini yang menjadi kenangan saudara mara dan rakan taulan yang menyayanginya!