Archive for June 13th, 2009

13
Jun
09

IMG_0277

 

BALIK KAMPUNG

Esok Ahad 14 Jun saya nak balik kampung!

Pulang ke kampung halaman, tempat tumpah darah ibu saya di Nyalas, Melaka. Sambil menghadiri majlis perkahwinan sepupu lelaki yang digelar Tete, saya nak  menjenguk saudara mara Minangkabau yang masih menetap di kampung terpencil ini.

Ingat lagi kunjungan ke Nyalas masa saya kecil! Menziarahi Tok Manan, bapa ibu saya yang menjadi penghulu atau demang kawasan ini. Besar tinggi orangnya! Ingat juga Tok Mat Nor adik Tok Manan, seorang guru sekolah Melayu di Jasin. Terkenang juga Mak Cik Munah, Monel, Limah, Yam, Yah dan Pak Cik Ali adik beradik (lain ibu) arwah mak saya. Tok Manan mengahwini  empat isteri tetapi satu lepas satu, iaitu selepas kematian isteri sebelumnya. Bukan untuk memuaskan hawa nafsu seperti lelaki Islam sekarang yang mengahwini dua tiga isteri serentak!

 Terbayang bayang muka Ali Pelat yang membesar dan menua bersama saya. Dengan Ali lah saya selalu bersembang, berseloroh, berjenaka sambil menghisap rokok daun semasa kecil dan Rothmans semasa dewasa! Kami berdua menjelajahi politik negara dan meninjau ke dalam lubang lubang politikus UMNO. Dalam loghat Minang! Dengan nada yang penuh emosi! Mengenangkan nasib bangsa dan negara!

Den tengok ogrhang Melayu pokan dah mengado ngado macam si kudong dapek cincin!  Dapek sikit dah bodoh sombong lupo sedagrho magrho kampong masih papo kedano! 

Sungguhpun tidak berpelajaran formal Ali Pelat mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa; mempunyai “native intelligence” dan “native speaker intuitions” yang tajam! Dan hati Ali sungguh suci! Saya amat merinduinya!

Saudara mara sebelah ibu orang Minangkabau, semua bercakap loghat Minang, semua orang kampung pendalaman! Kali terakhir saya melawat mereka ialah dua tahun lepas semasa Yam meninggal dunia. Memang benar saudara mara yang tinggal di merata pelusuk negara berjumpa hanya pada majlis perkahwinan atau kematian!

Saya pasti tidak ada banyak perubahan dalam hidup mereka – dari dulu hingga sekarang. Mereka masih susah, kebanyakan mereka masih kais pagi makan pagi! Bercucuk tanam! Memelihara ayam dan itik! Memancing ikan sungai!

                                                          Pulang

                              Tiap kali aku menapak bumimu England,

                             Bagai bangau menghinggapi kerbau

                             Ombak beralun balik ke tepi pantai

                             Hujan renyai menyerapi bumi;

                             Sebentar rasa pulang

                             Seketika rasa puas

                             Sekejap rasa tenang;

                             Seolah dibelai penawar rindu

                             Menumpang kasih di pangkuan ibu susu.

                             Bukan kerana untung dan megah

                             Dapat memeluk gading bertuah,

                             Lebih dari itu –

                             Tanduk kerbau ku genggam kukuh

                             Kampung halaman teratak berteduh

                             Tetap ku tatang, tetap ku sayang.

 

                             Namun kau England –

                             Menusuk zahir batinku

                             Membuai mimpi dulu

                             Mengimbas ingatan lalu

                             Fatamorgana syurga abadi di kalbu;

 

                             Jiwamu England tetap ku rindu.

Mungkin sekarang rumah atap papan sudah bertukar menjadi rumah separuh batu, basikal sudah digantikan dengan motor atau Proton “sekenhen” dan radio dinaiktaraf kepada TV dan CD dan DVD. Anak-cucu mereka mungkin lulus UPSR atau SPM. Ada juga yang lulus STPM dan menuntut IPT di sini sana .

Membeli kenderaan dan alat hiburan menjadi keutamaan mereka! Menikmati hiburan moden seperti Akademi Fantasia  memenuhi masa lapang dan menjadi buah perbincangan hebat. Ini menggantikan borak kosong di kedai kopi atau mencaci jiran sambil mencari kutu di tangga depan! Mana ada masa atau minat nak membaca buku! Mana ada duit lebih untuk disimpan atau dilabur!

Dengan pendidikan formal yang lebih tinggi daripada nenek moyang dan ibu bapa mereka, pemuda kampung berpeluang mendapat pekerjaan “white collar” atau “blue collar” di bandar bandar kecil dan besar. Tak payah lagi bertungkus lumus mengerjakan sawah sekangkang kera atau hutan sepelaung di pinggiran kampung mereka.

Mudah orang bandar seperti saya bercakap! Hidup kita lebih senang, lebih mewah, lebih “affluent”! Orang Melayu bandar tidak serupa atau sejiwa dengan saudara mara kampung.

Kata saja orang Melayu tapi jurang perbezaan antara kelompok kelompok Melayu seluas gaung!

Dengan perbezaan pendapatan dan kemudahan hidup antara bandar dan luar bandar yang semakin menggunung, timbul lah perbezaan ekonomi, sosio-budaya dan politik yang makin lama makin memisahkan kita semua.

Kata saja orang Melayu! Tapi hati dan jiwa berlainan!

Advertisements



June 2009
M T W T F S S
« May   Jul »
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  

Pages

Advertisements