SOAL INTEGRASI
Satu PENDAPAT yang saya utarakan kepada Utusan Malaysia dalam tahun 2008 tetapi tidak diterbitkan:
KEMAMPUAN ORANG MELAYU MEMPERKUKUHKAN INTEGRASI SOSIAL MASYARAKAT MAJMUK NEGARA
MUKADIMAH
Perkembangan politik semasa menunjukkan kemunculan retorik perkauman yang semakin lantang disuarakan, yang bakal mengundang keretakan hubungan kaum dan integrasi sosial negara. Tanda-tanda keresahan yang wujud dalam perbalahan pemimpin politik jika tidak dikawal akan menyerap kepada masyarakat umum dan menimbulkan persengketaan antara kaum yang lebih serius.
Kita sudah pun menyaksikan reaksi pihak-pihak pelampau seperti Hindraf dan badan-badan serta individu tertentu terhadap beberapa isu sensitif.
Untuk memahami realiti di sebalik ketegangan hubungan politik antara etnik/kaum yang sedikit sebanyak mencerminkan ketidakselesaan hubungan antara kaum ini, kita harus cuba memasuki pemikiran kaum etnik bukan Melayu dan kaum etnik Melayu sendiri yang dimanifestasikan dalam pendirian politik dan manifesto serta wadah parti yang mewakili kepentingan mereka.
KONTRAK SOSIAL
Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan lazim dirujuk oleh kedua dua pihak untuk menyokong atau membantah pendirian dan argumen masing-masing.
Adalah menjadi tanggungjawab Yang diPertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan- kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.
Dengan kata lain kerajaan bertanggungjawab memelihara keharmonian dan kemakmuran negara Malaysia yang ditunjang oleh Raja Raja Melayu, agama Islam, bahasa dan bangsa Melayu disamping melindungi kepentingan sah kaum kaum lain.
Kebelakangan ini kontrak sosial yang merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan menjadi tumpuan di arena politik negara sehingga semangat dan pengertiannya dipersoalkan oleh pihak-pihak tertentu.
KEPENTINGAN SAH KAUM ETNIK BUKAN MELAYU
Kaum etnik bukan Melayu yang diwakili oleh parti parti politik tertentu berasa kepentingan mereka tidak dilayani dengan adil dan saksama dalam perlaksanaan dasar-dasar pembangunan negara, khususnya DEB. Dua perkara utama yang sering dipersoalkan ialah peluang ekonomi dan peruntukan pendidikan yang dilihat terlalu mementingkan kaum etnik Melayu. Perkara yang selalu disebut ialah pengagihan kontrak, perniagaan dan tempat di IPT dan biasiswa.
Kaum-kaum bukan Melayu berasa, sebagai warganegara Malaysia, kepentingan sah mereka yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak diterjemahkan dalam dasar pembangunan dan peruntukan yang saksama.
Satu lagi rungutan yang sering diutarakan ialah usaha kerajaan membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan lebih tertumpu kepada orang Melayu luar bandar dan meminggirkan kaum etnik Cina dan India yang kurang bernasib baik. “Affirmative Action” negara Malaysia yang pada premis penggubalannya menjanjikan bantuan kepada semua golongan miskin tidak kira kaum atau agama, pada realitinya lebih diagihkan kepada orang Melayu.
Selain ekonomi dan pendidikan, isu-isu keagamaan dan kebudayaan yang lebih sensitif juga diketengahkan.
Perlu saya terangkan di sini bahawa ini bukan pendirian saya tetapi rumusan yang saya buat berasaskan perkembangan semasa dan juga apa yang saya dengar daripada rakan bukan Melayu.
Dan memang wujud banyak argumen, fakta dan mungkin angka-angka yang boleh membantah pendapat ini.
KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU
Orang Melayu mempertahankan kedudukan istimewa mereka sebagai penduduk asal negara dan peruntukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, Agama Islam dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Perkara 153 dirujuk untuk mempertahankan peruntukan peruntukan yang diberi kepada orang Melayu dalam dasar pembangunan negara, khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan.
Di pentas politik, konsep/ slogan “ketuanan Melayu” digunakan untuk mendorong dan meyakinkan orang Melayu tentang kedudukan istimewa mereka. Peruntukan peruntukan khas yang diberi kepada orang Melayu di bawah DEB rata-rata dianggap sebagai hak semulajadi yang tidak boleh dipertikaikan.
Saya pernah menyarankan dalam kolum Pendapat, Utusan Melayu bahawa kegunaan slogan “Ketuanan Melayu” ini menyumbang kepada ketidaksenangan kaum bukan Melayu dengan sikap orang Melayu mengatakan diri mereka Tuan yang memandang rendah kepada kaum bukan Melayu.
Argumen yang saya utarakan ialah konsep “Tuan” penuh dengan konotasi kebesaran, kuasa dan “condescension” (pandang rendah) sama seperti Tuan orang putih yang menguasai kita dulu, yang kita sendiri tidak suka.
Jadi, selain keistimewaan orang Melayu mendapat potongan kek negara yang amat besar, sikap mereka menunjuk-nunjuk kebesaran dan kuasa politik mereka juga tidak disenangi.
POLITIK PEMISAHAN
Kebalakangan ini “politik perpaduan” yang diwujudkan oleh angkatan pemimpin di era prakemerdekaan dalam pembentukan Perikatan tiga parti komponen – UMNO, MIC dan MIC – dan selepas dua dekad bertukar menjadi Barisan Nasional yang merangkumi lebih banyak parti politik, menghadapi cabaran/ancaman serius daripada “politik pemisahan” yang dipermainkan bukan sahaja oleh parti pembangkang malah oleh parti parti komponen Barisan Nasional sendiri.
Perkembangan tidak sihat ini menular di merata arena politik hingga menimbulkan perasaan syak wasangka di kalangan ahli politik yang bakal menyerap kepada akar umbi yang mereka wakili.
Pada pandangan saya, fenomena ini sudah menjadi saling mempengaruhi atau “vicious circular”, iaitu politik pemisahan mempengaruhi pemikiran dan sikap rakyat, dan pemikiran dan sikap umum mempengaruhi politik pemisahan.
Keadaan di mana rakyat biasa merasa kaum mereka malah keluarga mereka terasing/terpisah (excluded) dan oleh kerana itu terancam, mengundang tindakan tindakan yang tidak rasional dan berbelah bagi. Keadaan menjadi lebih buruk apabila perasaan ketidakselesaan ini digembar gemburkan dalam retorik politik.
Kepincangan pendirian politik lazim memisahkan pengundi negara. Malah perbezaan politik boleh menjejas hubungan baik dalam keluarga dan antara sahabat.
Saya sendiri selalu bertikam lidah dengan sahabat dan ahli keluarga yang kadang-kadang menyebabkan pergaduhan dan rasa marah.
Dalam masyarakat majmuk ia mempunyai implikasi yang lebih luas dan serius. Ia boleh menjangkiti hubungan antara kaum pada tahap sosial dan mewujudkan pengasingan/ polarisasi kaum yang bakal mencetuskan persengketaan yang lebih mudarat.
Seperti yang sedang berlaku, percampuran antara kaum pada tahap sosial sudah pun terjejas kerana sudah wujud perasaan tidak percaya dan yang lebih serius, tidak hormat antara satu sama lain. Disamping ini akan timbul prejudis serta “racism” dan “racial chauvinism”.
Dalam surat kepada The STAR saya mencadangkan perbezaan atara “racist” dan “racial”.
ASAS INTEGRASI SOSIAL
Initiatif untuk membina perpaduan rakyat memang menjadi tanggunjawab kerajaan. Ini mereka cuba lakukan dalam acara seperti penyambutan Hari Kebangsaan, Hari Keputeraan Yang DiPertuan Agong dan Sultan, Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas yang memberi peluang kepada rakyat jelata menyambut perayaan nasional bersama dalam suasana muhibbah. Usaha seperti ini menggalakkan integrasi luaran yang wujud apabila ada unsur hiburan seperti pementasan muzik atau pertandingan seperti sukan. Ia mungkin berskesan pada tahap integrasi sosial yang agak superfisial.
Selain pembaziran wang saya rasa bahawa yang terjalin bukan hubungan baik antara kaum Malaysia tetapi sikap gelojoh dan kuat makan semua kaum Malaysia.
Yang lebih penting ialah integrasi sosial pada tahap yang utuh dan kekal, yang dimanifestasikan dalam perkongsian matlamat, visi dan misi untuk bangsa dan negara, dan diterjemahkan dalam perkongsian sumber-sumber utama negara, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosio-budaya.
Integrasi sosial yang tulen hanya akan wujud dalam suasana di mana kaum-kaum etnik saling menghormati dan saling percayai di antara satu sama lain; di mana setiap kaum merasa bahawa mereka menikmati hak-hak kewarganegaraan dan keistimewaan yang adil dan saksama.

Ini akan berlaku apabila setiap kaum mempunyai jati diri dan keyakinan yang kukuh bahawa kedudukan mereka terjamin dan terpelihara di bawah payung kerajaan negara. Dengan ini semangat kebangsaan dan patriotisme akan berkembang dengan subur.
Dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia perlu ada semangat akomodasi dan ketermasukan (inclusiveness) di mana setiap kaum dapat mengekalkan sosio-budaya sendiri disamping berkongsi sumber sumber hidup yang lain dalam suasana saling memahami dan menghormati.
Ini menjadi asas integrasi sosial yang dinikmati oleh generasi 50an dan 60an di mana orang Melayu yang mengikuti aliran pendidikan Inggeris di bandar berdiri sama tinggi dengan orang Cina dan India. Disebabkan sistem pendidikan yang agak “egalitarian” dan saksama yang menggalakkan meritokrasi, orang Melayu dipercayai dan dihormati oleh kaum lain.
MENGUKUHKAN SEMANGAT AKOMODASI DAN “KETERMASUKAN” (INCLUSIVENESS)
Status rasmi orang Melayu sebagai penduduk asal negara dan kedudukan istimewa mereka yang telah/sedang mengundang peruntukan istimewa dalam sektor ekonomi, pendidikan dan sosio-budaya, meletakkan tanggungjawab memperkukuhkan integrasi sosial negara di atas bahu mereka.
Bilangan majoriti orang Melayu serta kuasa politik/ kerajaan yang dinikmati memberi mereka kelebihan merancang dan menjalankan initiatif initiatif yang memanfaatkan integrasi sosial antara kaum.
Tidak boleh dinafikan bahawa usaha ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama kaum-kaum lain. Integrasi sosial ialah proses yang berterusan yang saling mempengaruhi antara pihak pihak yang relevan. Tepuk tangan sebelah memang tidak akan berbunyi.
Dengan asas budaya Melayu yang sejak dulu mempamerkan semangat akomodasi terhadap kaum pendatang Cina, India dlll orang Melayu moden seharusnya memperjuangkan adat resam nenek moyang mereka yang sentiasa melayari Nusantara untuk mencari peluang hidup. Dalam perkara ini mereka sudah biasa berkongsi peluang dengan orang luar yang ingin bermastautin di kawasan mereka. Apa bezanya sekarang?
Pada pendapat saya, perbezaan wujud pada cara dan gaya orang Melayu meraih peluang peluang tersebut yang membentuk jati diri dan keyakinan mereka terhadap kebolehan mereka bersaing.
Berbeza dengan orang Melayu sekarang yang berpayung di bawah naungan parti politik dan kerajaan, orang Melayu dulu bersaing atas padang yang sama rata. Ini membina keyakinan/maruah diri yang teguh dan menyebabkan mereka dihormati oleh kaum lain kerana berusaha dengan kudrat sendiri.
Berbeza dengan masa sekarang di mana orang Melayu dipandang rendah walau pun berjaya dalam sektor awam, ekonomi dan pendidikan, kerana persepsi kaum lain ialah mereka mencapai kejayaan bukan kerana kebolehan diri sendiri tetapi kerana kedudukan dan peruntukan istimewa yang mereka nikmati.
Pada tahap psikologi, ini tidak menguntungkan orang Melayu kerana kaum lain terdorong untuk berusaha lebih kuat dan orang Melayu bersikap sambil lewa kerana yakin akan menerima bantuan kerajaan.
STRATEGI MENANGANI INTEGRASI SOSIAL
Saya kurang faham mengapa orang Melayu merasa diri mereka terancam sedangkan mereka menduduki tempat yang istimewa dalam negara mereka.
Hujjah yang sering diutarakan ialah tidak benar orang Melayu sudah mencapai equiti – iaitu angka “magical” 30 peratus yang ditetapkan. Atau tidak benar mereka bermain atas padang yang sama rata dalam sektor ekonomi dan pendidikan. Atau hanya golongan orang Melayu di bandar sahaja yang menikmati keselesaan hidup, kehidupan orang Melayu di luar bandar masih serba berkurangan.
Saya tidak ingin mempertingkaikan hakikat ini.
“AFFIRMATIVE ACTION”
Yang perlu ditangani dengan baik ialah cara “affirmative action” diterjemahkan kepada projek-projek yang menguntungkan pelbagai kumpulan sasaran termasuk kaum bukan Melayu. Selagi orang Melayu berlindung di bawah naungan kerajaan dan mengamalkan sistem “patronage”, mereka akan dianggap kurang berkemampuan atau tidak setanding. Dan kaum bukan Melayu menganggap diri mereka terpinggir dan dianaktirikan.
“Affirmative action” mesti diselenggarakan secara “inclusive”, iaitu golongan miskin dari pelbagai kaum harus diberi hak-hak kemaknusian dan keadilan serta peruntukan ekonomi dan pendidikan yang sama rata berasaskan criteria yang transparen. Dengan ini barulah konsep “egalitarian” dan “demokrasi’ benar benar diterjemahkan dalam dasar pembangunan negara.
Dengan wujudnya peruntukkan sama rata barulah kaum kaum lain berasa bahawa hak kerakyatan mereka tidak diabaikan. Jika ada golongan yang memerlukan bantuan yang lebih, kerajaan harus menanganinya dengan cara yang lebih “subtle” dan “sensitive”.
(Projek-projek tertentu)
Bila orang Melayu meyakini diri sendiri dan berdiri atas kaki sendiri untuk mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang, mereka akan dihormati dan disegani sebagai kaum yang benar-benar berjaya. Sambil mempamerkan kepada orang bukan Melayu bahawa kepentingan mereka dilayani dengan wajar, orang Melayu diberi jaminan bahawa kedudukan istimewa mereka tidak terjejas.
Dengan ini kedudukan istimewa orang Melayu terpelihara disamping melindung kepentingan sah kaum kaum lain.
PENUTUP
Sebagai penutup saya ingin mengajukan 2 soalan:
1. Jika orang Melayu menerima hakikat bahawa negara ini terdiri daripada rakyat berbilang kaum, iaitu 3 kumpulan etnik utama (Melayu. Cina dan India) dan beberapa kumpulan etnik lain, apakah mereka masih sanggup menekankan retorik seperti “Ketuanan Melayu” yang bakal memisahkan?
2. Jika orang Melayu mendukung prinsip keadilan dan kesaksamaan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum berasaskan kedudukan dan kepentingan setiap kaum, apakah cara dan strategi terbaik untuk menjamin keseimbangan antara kaum?
Terima kasih